Friday 31 October 2014

Penutupan Masjid al-Aqsa provokasi terhadap muslim - OIC

KUALA LUMPUR: Penutupan Masjid al-Aqsa oleh pihak berkuasa Israel adalah tindakan duluan dan provokasi secara terang-terangan terhadap umat Islam, kata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Setiausaha Agungnya, Iyad Ameen Madani, berkata OIC mengutuk tindakan yang mencabuli hak beragama umat Islam di salah sebuah masjid paling suci.
"Ini adalah satu pelanggaran semua perjanjian antarabangsa, konvensyen Geneva dan prinsip undang-undang antarabangsa," katanya dalam kenyataan.
Madani berkata Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas akibat daripada perbuatan itu dan mengingatkan peningkatan amalan perkauman seumpama itu akan memburukkan lagi keadaan di rantau berkenaan.
Beliau menuntut supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) bertindak segera untuk mencegah pencerobohan berulang Israel di tapak suci umat Islam dan Kristian, di kawasan penempatan Baitulmaqdis.
Beliau juga meminta UNSC untuk menghentikan pelanggaran perkauman dan aktiviti keagamaan rakyat Palestin, oleh Israel.
Menurut laporan, Israel mengumumkan hari ini akan membuka semula Masjid al-Aqsa berikutan kemarahan antarabangsa selepas menutup kawasan beribadat itu kesan daripada kes tembak seorang aktivis Yahudi, pada lewat semalam.
Menurut Al Arabiya News, polis Israel telah menembak dan membunuh Muataz Hijazi, seorang lelaki Palestin yang disyaki menembak dan cuba membunuh aktivis Yahudi itu.
Kejadian telah meningkatkan pertempuran antara penunjuk perasaan rakyat Palestin dan polis rusuhan Israel. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment