BAITULMUQADDIS – Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman memberitahu rakan sejawatnya, dari Jerman kelmarin bahawa Israel tidak akan berhenti membina kediaman untuk orang Yahudi di Baitulmuqaddis Timur di sini.
Kenyataannya menambahkan lagi kekecewaan Barat berhubung dasar pembinaan penempatan haram Yahudi di tanah milik penduduk Palestin.
“Kami tidak akan menetapkan sebarang had untuk membina penempatan Yahudi sini,” kata Lieberman pada satu sidang akhbar bersama dengan Menteri Luar Jerman, Frank Walter Steinmeier.
Sejak awal Oktober lalu, Israel mengumumkan untuk membina 4,300 buah rumah peneroka haram Yahudi di sini dan di Tebing Barat yang ditakluki Israel, sekali gus meningkatkan ketegangan dengan penduduk Palestin.
Pengumuman mengenainya telah mencetuskan kemarahan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat yang melihat pendudukan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah dan menghalang proses damai Asia Barat.
Penduduk Palestin mahu menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota negara Palestin merdeka yang merangkumi wilayah Tebing Barat dan Genting Gaza.
Israel berundur dari Genting Gaza pada 2005 tetapi terus mengenakan sekatan ke atas wilayah berkenaan.
Rejim Zionis pula menganggap seluruh bandar ini sebagai ibu kota Yahudi dengan tuntutan tersebut tidak diktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Sehingga kini, dianggarkan seramai 150,000 orang Yahudi tinggal di Baitulmuqaddis Timur.
“Jangan bermimpi kerajaan Israel akan menyerah dan mengehadkan pembinaan (penempatan haram Yahudi) di sini,” kata Lieberman.
“Kami bersedia untuk mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan kami dan tidak akan ada sebarang kompromi,” tambahnya. – Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3JMmOcuFF
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment