“Satu perkara yang perlu diperjelaskan, kami tidak akan menerima definisi yang menyatakan pembinaan penempatan Yahudi di Baitulmaqdis sebagai pendudukan haram.
“Kami juga tidak akan menerima sebarang cadangan untuk mengehadkan jumlah bangunan yang boleh dibina di Baitulmaqdis Timur,” kata Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman pada satu sidang media, semalam.
Kenyataan Lieberman itu dikeluarkan empat hari selepas kerajaan Israel meluluskan cadangan untuk membina 200 buah rumah di Ramot, di sini, walaupun berlaku pertempuran dengan penduduk Palestin berlaku hampir setiap hari yang berang dengan tindakan rejim Zionis itu meluaskan kawasan penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur.
Pengumuman tersebut, sekali gus menolak teguran daripada Washington yang tegas menentang sebarang kerja-kerja pembinaan penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur, dengan memberi amaran tindakan berkenaan akan memburukkan lagi keadaan dan tidak membantu mengurangkan ketegangan.
Israel mula menawan Baitulmaqdis Timur selepas berlakunya peperangan selama enam hari pada 1967, sebelum membina penempatan haram Yahudi, satu tindakan yang sama sekali tidak diiktiraf oleh masyarakt antarabangsa.
Masyarakat antarabangsa menyifatkan bandar berkenaan sebagai ‘bandar bersatu dan tidak boleh dibahagi-bahagikan’ dan tidak pernah menganggap kerja-kerja pembinaan di situ sebagai aktiviti penempatan.
Sementara itu, penduduk Palestin mahu menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan Israel untuk merampas kawasan berkenaan. – AFP