Pasukan keselamatan Israel menahan seorang kanak-kanak Palestin di timur Baitulmaqdis.
Pasukan keselamatan Israel menahan seorang kanak-kanak Palestin di timur Baitulmaqdis.
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mendakwa seramai 10,000 kanak-kanak Palestin telah ditahan Israel sejak tahun 2000.

Ketua Jawatankuasa Tahanan Palestin, Issa Qaraqe turut mendedahkan bahawa rejim Zionis turut melakukan pencabulan hak asasi seperti menghina dan mendera kanak-kanak terbabit.

"Israel tidak memberikan sebarang imuniti malah terus melanggar perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi tahanan kanak-kanak.

"Mereka terus menyeksa dan menafikan hak kanak-kanak Palestin untuk mendapatkan perbicaraan yang adil," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kata Qaraqe lagi, sejak Jun, Tel Aviv telah menahan kira-kira 3,000 rakyat Palestin dan 30 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak.

"Buat masa ini, sekurang-kurangnya 300 kanak-kanak ditahan di penjara Israel dan kebanyakan mereka ditangkap di timur Baitulmaqdis," katanya kepada Press TV.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Bandar Israel mengeluarkan arahan melarang pengambilan pekerja Arab bagi membina pusat perlindungan bom di tadika Yahudi.

Itamar Shimoni membuat pengumuman itu menerusi temu bual di radio Israel.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen, Ahmed Tibi menyelar keputusan itu sebagai rasis, bodoh dan tidak sah.