Jurucakap perbandaran Baitulmaqdis berkata, jawatankuasa perancangan perbandaran Baitulmaqdis telah meluluskan pembinaan 50 unit rumah baharu di Har Homa dan 28 lagi di Ramot.
Israel menyifatkan dua penempatan bandar itu sebagai kawasan perumahan Baitulmaqdis.
Sebelum ini, penduduk Palestin turut berang dengan rancangan Israel meneruskan pembinaan kira-kira 4,000 buah rumah di Tebing Barat yang menjadi tambahan kepada bandar itu.
Palestin mahu menubuhkan sebuah negara di Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Genting Gaza, wilayah yang dikuasai Israel semasa Perang Asia Barat 1967.
Mereka bimbang kewujudan pe­nempatan baharu Israel akan menafikan mereka sebuah wilayah mutlak.
Jurucakap bagi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdainah berkata, keputusan itu adalah satu kesinambungan daripada dasar Israel yang mengakibatkan lebih banyak ketegangan.
“Tindakan itu mendorong kepada peningkatan ketegangan dan mensia-siakan peluang bagi mewujudkan suasana yang aman,’’ kata­nya. – REUTERS