“Saya rasa Baitulmaqdis boleh dan sepatutnya menjadi ibu negara kepada kedua-dua negara,’’ katanya kepada wartawan, di sini hari ini.
Kenyataan Mogherini itu dikeluarkan selepas pembunuhan kejam seorang lelaki oleh polis di utara Israel dengan rakaman video menunjukkan mangsa ditembak dari arah belakang.
Status Baitulmaqdis merupakan isu sensitif yang menghalang usaha damai Palestin-Israel sejak beberapa dekad lalu.
Palestin mahu menubuhkan negara Palestin di Gaza dan Tebing Barat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, manakala Israel mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya yang tidak boleh dibahagi.
Mogherini yang melawat wilayah Palestin dan Israel sejak kelmarin menggesa pelaksanaan semula proses damai yang tertangguh sejak April lalu.
“Dunia tidak mampu melihat satu lagi perang di Gaza dan penubuhan negara Palestin perlu dilaksanakan,’’ katanya ketika melawat Gaza City dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah.
Sejak beberapa minggu lalu, suasana semakin tegang dengan Israel merancang membina penempatan haram baharu Yahudi di Baitulmaqdis timur dan kumpulan pelampau Yahudi menggesa mereka dibenarkan bersembahyang di Masjid Al-Aqsa.
Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon semalam berkata, penduduk Yahudi hanya dibenarkan melawat masjid tersebut dan tidak dibenarkan bersembahyang di sana.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa Mogherini memastikan keadaan itu tidak berubah bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini. – AFP