Cadangan itu bukan sahaja mencabul resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Resolusi 405 dan Resolusi 237 yang menetapkan bahawa, Baitulmaqdis merupakan ibu negara Palestin dan sebarang tindakan Israel untuk mengisytiharkan kota suci ketiga bagi umat Islam itu sebagai ibu negara mereka sebagai tidah sah dan menyalahi undang-udang.
Badan dunia itu turut menegaskan bahawa tindakan Israel menawan Tebing Barat dan membina penempatan di kawasan Baitulmaqdis sebagai pendudukan haram dan mereka wajib kembali ke sempadan yang telah ditetapkan mengikut Resolusi 242.
Tiga resolusi tersebut sudah cukup untuk menjelaskan bagaimana hak rakyat Palestin ke atas Baitulmaqdis tidak boleh dicabuli dan diiktiraf oleh dunia serta tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
Ini bukanlah kali pertama EU mengutarakan cadangan mengarut sedemikian. Pada 2009, EU menerusi kenyataan ketua-ketua menterinya pernah mencadangkan supaya Baitulmaqdis dikongsi bersama di bawah perjanjian damai Asia Barat.
EU perlu berhati-hati apabila menyentuh tentang isu Baitulmaqdis yang turut dianggap sebagai kota suci bagi orang Yahudi dan Kristian, kerana dibimbangi akan mencetuskan perang.
Ia juga boleh mencetuskan kemarahan penduduk Palestin serta kebangkitan intifada seperti pada 28 September 2000 yan menyaksikan beribu-ribu orang penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel terkorban.
Sejak beberapa minggu lalu, suasana semakin tegang di Baitulmaqdis dengan Israel merancang membina penempatan haram baharu Yahudi di Baitulmaqdis timur dan kumpulan pelampau Yahudi menggesa mereka dibenarkan bersembahyang di Masjid Al-Aqsa.
PBB yang pernah menyifatkan tindakan Israel memperluaskan penempatan haram Yahudi, memusnahkan rumah penduduk Palesin dan mengehadkan kemudahan air kepada peladang Palestin di Baitulmaqdis sebagai punca utama banyak masalah yang tercetus antara kedua-dua pihak sewajarnya memainkan peranan utama bagi meredakan ketegangan di Baitulmaqdis dan menyelesaikan isu tersebut.
PBB perlu mengembalikan kewibawaannya yang sudah tercalar selepas dilihat lebih berminat untuk mengambil sikap tunggu dan lihat dalam banyak isu kemanusiaan termasuk serangan tidak berperikemanusian Israel ke atas Genting Gaza, baru-baru ini, dengan menguatkuasakan resolusi yang telah dibentuk bagi melindungi hak rakyat Palestin.
Penduduk Islam dan negara-negara Islam harus tampil mengenakan tekanan ke atas Israel dan sekutunya bagi menggagalkan agenda mereka menakluk Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.