Peluru berpandu antikereta kebal, Spike buatan Israel. – AGENSI
NEW DELHI 26 Okt. - India, hari ini memilih untuk membeli peluru berpandu antikereta kebal jenis ‘Spike’ dari Israel, sekali gus menolak tawaran pembelian peluru berpandu Javelin dari Washington dalam usaha untuk meningkatkan pertahanan negara ini yang bersempadan dengan China dan Pakistan.
Sumber Kementerian Pertahanan melaporkan, India akan membeli sekurang-kurangnya 8,000 peluru berpandu ‘Spike’ dan lebih 300 pelancar peluru berpandu dalam urusan jual beli bernilai 32 bilion rupee (RM1.7 bilion) itu.
Menteri Pertahanan, Arun Jaitley yang menguruskan portfolio kewangan urus niaga tersebut berkata, keselamatan negara adalah keutamaan kerajaan.
“Segala rintangan dalam proses pembelian perlu diuruskan secara pantas bagi membolehkan urus niaga ini tidak terhalang,” katanya.
Menurut sumber tidak rasmi, urus niaga yang dibincangkan oleh panel kementerian berkenaan adalah termasuk permohonan untuk menyediakan sebanyak enam kapal selam.
Peluru berpandu antikereta kebal ‘Spike’ merupakan senjata buatan Sistem Pertahanan Lanjutan Rafael di Israel, manakala pesaingnya, sistem peluru berpandu Javelin merupakan senjata keluaran syarikat Lockheed Martin Corp dan Raytheon Co dari Amerika Syarikat (AS).
Pegawai tertinggi AS memaklumkan, perbincangan tentang pembelian Javelin dilakukan ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi melawat Washington pada September lalu.
Perbincangan itu dilakukan sebagai satu langkah mengeratkan hubungan industri pertahanan As dan India melalui perkongsian pengeluaran senjata yang diperbuat di AS. – REUTERS
No comments:
Post a Comment