Thursday, 25 September 2014

Pertempuran di Masjid Al-Aqsa


Baitulmaqdis: Pertempuran berlaku di dalam dan sekitar perkarangan Masjid Al-Aqsa semalam beberapa jam sebelum bermulanya Tahun Baru Yahudi.

Jurucakap polis Israel, Luba Samri berkata, kejadian bermula apabila sekumpulan Yahudi cuba memasuki masjid berkenaan menyebabkan remaja Palestin bertindak balas dengan melontar batu dan bom petrol.

Polis Israel kemudian bertindak mengejar remaja Palestin itu, memaksa mereka berundur ke dalam masjid ketiga suci umat Islam itu.

Polis Israel sebelum ini menyekat semua laluan ke perkarangan masjid itu bagi menghalang kekacauan meletus tetapi ada sekumpulan Yahudi yang degil, cuba memasukinya pada permulaan cuti dua hari sempena tahun baru itu.



Dua daripada mereka ditangkap.

Berhampiran perkarangan itu, polis melontar bom asap ke arah sekumpulan penduduk Palestin yang cuba menghalang kemasukan kumpulan Yahudi itu.

Ia menyebabkan kumpulan remaja Palestin itu bertindak balas dengan menyerang bom api dan melontar batu.

Perkarangan Al-Aqsa sering menyaksikan pertempuran antara penduduk Palestin dengan polis Israel.

Pertempuran meningkat ketika perang 50 hari antara Israel dan Hamas di Gaza.


- Walaupun konflik berkenaan berakhir 26 Ogos lalu, pertempuran masih berlaku.


Pada 7 September lalu, seorang remaja Palestin berusia 16 tahun, Mohammed Sinokrot mati akibat cedera selepas ditembak polis Israel.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

No comments:

Post a Comment