Thursday 25 September 2014

Mohamed paling popular di Israel


Mohamed dilapor menjadi nama paling popular di Israel meskipun rejim itu cuba menyembunyikannya daripada senarai rasmi tahunan.

Lembaga Imigresen dan Populasi Israel minggu ini menerbitkan senarai 10 nama paling popular kanak-kanak lelaki dan perempuan yang dilahirkan di Israel sepanjang 12 bulan lalu.

Bagaimanapun, ia tidak memasukkan nama Arab dalam senarai itu, termasuk Mohamed, yang sepatutnya berada di tangga teratas senarai nama bayi lelaki dan Ahmed, yang sepatutnya di tempat kesembilan.

Rejim Zionis itu sebaliknya mendakwa nama paling popular untuk bayi di negara itu ialah Yosef, Daniel, Uri, Itai, Omer, Adam, Noam, Ariel, Eitan dan David.

Senarai itu dikeluarkan sempena Tahun Baru Yahudi.

Bagi bayi perempuan, nama paling popular ialah Shira, Adele, Talya, Yael, Lian, Miriam, Maya and Avigayil.



Lian, Miriam (Maryam) dan Maya digunakan oleh penduduk Arab dan juga Yahudi.

Lembaga itu diselar oleh agensi berita Israel, Haaretz kerana menggugurkan nama Arab daripada senarai nama kanak-kanak lelaki.

Menurut agensi itu, beberapa nama Arab jauh lebih popular berbanding yang terkandung dalam senarai rasmi itu, termasuk Mohamed.

Menurut lembaga itu, 176,230 bayi dilahirkan di Israel sepanjang 12 bulan lalu - 90,646 lelaki dan 85,584 perempuan.

Populasi Israel sehingga Mei lalu berjumlah 8.18 juta, lebih enam juta daripadanya Yahudi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

No comments:

Post a Comment