Amman: Mahkamah Jordan semalam membebaskan seorang pendakwah yang mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda daripada tuduhan merancang serangan ke atas warga Israel, pelancong Amerika Syarikat dan diplomat Barat di negara itu lebih sedekad lalu.
Keputusan itu mengakhiri perbicaraan Abu Qatada, 53, yang dikatakan pernah menjadi pegawai kanan Osama bin Laden namun kebelakangan ini mengkritik keras kumpulan Negara Islam (IS).
Abu Qatada atau nama sebenarnya Omar Mahmoud Mohammed Othman dibawa dari Britain ke Jordan tahun lalu selepas beberapa tahun membantah cubaan meng ekstradisinya.
Menurut hakim Ahmed Qattarneh, tiga panel hakim sebulat suara membebaskan Abu Qatada daripada tuduhan ‘kerana kekurangan bukti untuk menuduhnya.’ Suasana gembira dilihat dalam kamar mahkamah selepas pengumuman itu dengan ahli keluarga melaungkan takbir sementara Abu Qatada mengangkat tangannya dari kandang tertuduh yang dikawal ketat pasukan polis antirusuhan.
Peguam bela Husein Mubaidin berkata, dia menjangka anak guamnya akan dibebaskan dalam waktu terdekat.
Kes yang dibicarakan di Mahkamah Keselamatan Kebangsaan Jordan berkenaan turut menyaksikan Abu Qatada didakwa atas tuduhan merancang serangan ke atas sekolah Amerika Syarikat di Amman yang digagalkan pada 1999.
Dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan berkenaan.
Abu Qatada yang dilahirkan di Tebing Barat, Palestin, melarikan diri ketika Jordan menjalankan tindakan tegas ke atas aktivis Islam.
Dia memasuki Britain dengan menggunakan pasport palsu pada 1993.
- AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25
No comments:
Post a Comment