|
DAHANIYA - Seorang pengawal trafik udara di lapangan terbang antarabangsa Gaza, Anis Arafat berharap dapat memulakan tugas mengendalikan pelepasan dan pendaratan kapal terbang seperti zaman kegemilangannya.
Isu pembukaan semula lapangan terbang Gaza yang ditutup sejak tahun 2001 telah disuarakan oleh kumpulan Hamas berikutan penguatkuasaan gencatan senjata selama 50 hari bermula minggu lalu di tengah-tengah konflik antara Gaza dengan Israel.
"Tempat pertama saya bekerja ialah di lapangan terbang ini. Ia sudah menjadi rumah saya bersama rakan-rakan," kata Anis, 37, yang pernah bekerja selama dua tahun sebelum lapangan terbang itu ditutup.
Bagaimanapun lelaki itu hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila melihat lapangan terbang itu mengalami kerosakan teruk selepas bertahun-tahun diabaikan.
"Saya dapat melihat taman yang dipenuhi bunga mawar melalui tingkap pejabat," katanya ketika melawat lapangan terbang itu buat kali pertama selepas ditinggalkan lebih sedekad.
Pembukaan laluan laut dan udara menjadi syarat rundingan antara Hamas dan Israel yang dikendalikan oleh Mesir telah disambung semula selepas tergendala selama beberapa bulan.
Seorang lagi pekerja lapangan terbang, Wassim al-Akhras bagaimanapun menyifatkan pembukaan semula lapangan terbang tidak mungkin dapat dilakukan dalam masa terdekat.
"Apabila anda melihat bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Yasser Arafat itu yang telah runtuh, pasti air mata akan mengalir," katanya.
Lelaki itu mendakwa dia berasa bangga bekerja di tempat yang menjadi simbol kedaulatan kepada penduduk di Palestin.
Beberapa orang penduduk Gaza dilihat berada di balik runtuhan bangunan lapangan terbang untuk mengutip serpihan besi buruk untuk dijual. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3CNsECqWW
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment