Saturday 27 September 2014

Gaza: Konvoi motor berkuasa tinggi kumpul dana


MOHD SABRI SAID | .

KEPALA BATAS: Persatuan motor berkuasa tinggi Northen Gold Wingers mahu mencatat sejarah menjadi pasukan pertama mengadakan usahasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengelilingi Semenanjung mengumpal dana membantu penduduk Gaza.
Presidennya, Badruzzaman Ishak berkata, tujuan utama ialah memberi galakan dan semangat kepada Mapim dalam usaha mencari dana pembangunan untuk rakyat di Gaza, Palestin.

"Rasa bangga tidak terkata apabila kami berjaya menjadi persatuan motor berkuasa tinggi pertama yang mengelilingi Malaysia bersama Mapim untuk mencari dana RM1 milion," katanya pada pelancaran konvoi itu di pekarangan Masjid Bertam Indah, hari ini.

Katanya, hari ini konvoi akan berkunjung ke Jitra, Kedah.

Pada 11 Oktober ini, konvoi akan bertandang ke Pejabat Mapim di Sungai Petani, diikuti konvoi menuju ke Kuantan, Pahang dan Johor Baharu.

Seterusnya, kata beliau konvoi akan bergabung dengan persatuan Gold Wingers dari Singapura.

Pada hari keempat, katanya konvoi akan berada di Melaka, Negeri Sembilan dan selepas itu menuju ke ibu pejabat Mapim di Kuala Lumpur, diikuti Selangor dan seterusnya ke Perak.

"Nak diikutkan ramai nak sertai konvoi ni mungkin setiap negeri akan mendaftar ahli tetapi atas dasar keselamatan, kami hanya hadkan 20 buah sahaja," terangnya.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan sokongan padu daripada persatuan itu memberikan nafas baru kepada pihaknya untuk mencari dana bagi membantu pembangunan semula Palestin.

Kata beliau, sasaran utama ialah untuk memberi bantuan ubat-ubatan kepada rakyat di Gaza. - HARAKAHDAILY 27/9/2014

No comments:

Post a Comment