Sunday, 28 September 2014

Abbas tuntut kemerdekaan Palestin di UNGA


SEORANG banduan Palestin Suliman al-Hasash (kiri) memeluk seorang anggota pergerakan Hamas selepas dia dibebaskan daripada penjara di Rafah, Israel, baru-baru ini.- REUTERS
NEW YORK 27 Sept. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menuntut Israel menghentikan penjajahan ke atas bumi Palestin dan pembentukan negara Palestin dilaksanakan dengan segera di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Beliau pada masa sama menuduh Israel melakukan ‘jenayah penghapusan kaum’ di Gaza dan akan mengemukakan dakwaan rejim Zionis melakukan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, merujuk kepada perang antara pergerakan Hamas dan Israel yang mengorbankan 2,140 penduduk Palestin, baru-baru ini.
"Penjajahan ini mesti ditamatkan sekarang. Rakyat (Palestin) perlu dibebaskan dengan segera.
"Masa kemerdekaan bagi negara Palestin telah tiba,’’ katanya ketika berucap di sini, semalam.
Abbas bagaimanapun tidak menetapkan tarikh akhir bagi penubuhan negara Palestin namun pembantu beliau membayangkan tarikh yang sesuai adalah pada 2017.
Menyifatkan serangan Israel pada Julai dan Ogos lalu sebagai penghapusan etnik, Abbas berikrar: " Kami tidak akan melupakan dan memaafkan dan kami tidak akan membenarkan penjenayah perang terlepas daripada hukuman.
"Perang di Gaza adalah ‘satu siri jenayah perang yang nyata dilakukan di hadapan mata dan telinga penduduk dunia,’’ katanya yang merujuk kepada kesan kemusnahan perang selama 50 hari itu yang mengakibatkan lebih 460 nyawa kanak-kanak Palestin terkorban.
Seorang sumber yang menyertai rombongan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan ucapan Mahmoud sebagai ‘menghasut kebencian dan penuh dengan pembohongan’.
Amerika Syarikat (AS) pada masa sama mengecam ucapan Mahmoud itu yang menurutnya ‘tidak dapat diterima dan melemahkan usaha rundingan damai. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140928/lu_05/Abbas-tuntut-kemerdekaan-Palestin-di-UNGA#ixzz3EYYd71e5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment