Sunday 28 September 2014

Mapim sasar 500 sukarelawan ke Palestin


28 September 2014


KOTA BHARU - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan 500 sukarelawan untuk dihantar ke Palestin awal tahun depan bagi memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan berjaya.

Mapim memfokuskan kepada projek pasca-perang yang bersifat kemudahan jangka panjang seperti membina gudang simpanan bantuan untuk badan bukan kerajaan (NGO), membina rumah transit untuk pelarian perang dan membina semula sekolah anak yatim.
     
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pihaknya sedang menunggu isyarat daripada Mercy Malaysia di Kaherah yang berunding dengan pihak berkuasa di Mesir untuk memastikan kumpulan misi kemanusiaan itu boleh memasuki Gaza.
     
"Sebanyak 20 daripada keseluruhan sukarelawan itu dijangka akan dihantar pada penghujung Oktober ini yang terdiri daripada pakar perubatan dan NGO.
     
"Kita tempatkan sukarelawan ini mengikut sektor iaitu khusus untuk kanak-kanak, pendidikan dan kesihatan bagi memberi bantuan," katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Untuk Mu Gaza di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak RM1.5 juta telah dikumpul dan dihantar ke Gaza sebagai bantuan kecemasan bagi menampung kos ubat-ubatan dan makanan.

"Banyak lagi dana yang diperlukan untuk membantu saudara kita di sana dan Mapim merayu warga Malaysia yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan infaq/zakat untuk Dana Bantuan Kecemasan Gaza menerusi www.tabunggaza.com," katanya.
     
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Islam USM Dr Wan Nudri Wan Daud berkata, 90 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar USM berperanan menggerakkan pelbagai aktiviti bagi mengisi "Tabung Kemanusiaan Palestin" yang diwujudkan dengan kerjasama USM, Mapim dan Majlis Perwakilan Pelajar USM.
     
"Mereka turut memberi penerangan kepada masyarakat mengenai pergolakan yang berlaku di Gaza," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment