Wednesday, 10 September 2014

Ekonomi Israel merosot akibat perang


BAITULMAQDIS 9 Sept. - Kempen ketenteraan Israel ke atas Gaza selama tujuh minggu bermula 7 Julai lalu, mula menampakkan kesan kepada rejim Zionis itu apabila perkembangan ekonominya dilihat semakin merosot.
Agensi berita Xinhua melaporkan, pakar ekonomi menganggarkan perang itu akan menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi Israel menurun sebanyak 0.5 peratus.
Pusat Biro Perangkaan Israel berkata, pertumbuhan ekonomi Israel pada suku kedua tahun 2014 adalah sebanyak 1.7 peratus berbanding 2.8 peratus pada suku pertama tahun ini dan 2.5 peratus pada suku keempat tahun 2013.
"Kita sedang melalui fasa pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Namun, kita masih membincangkan tentang masalah kelembapan dan bukannya kemelesetan," kata Amir Ayal, Pengerusi Infinity, kumpulan pengurusan pelaburan swasta terbesar di Israel.
Dekan Fakulti Ekonomi Interdisciplinary Center di Herzliya, Prof. Zvi Eckstein berkata, faktor peperangan menjadi salah satu punca berlakunya keadaan tersebut dan beliau menjangkakan pertumbuhan perlahan ini akan berterusan.
"Kadar pertumbuhan yang rendah di Eropah, yang juga merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Israel memberi impak negatif kepada eksport Israel. Malangnya kerajaan tidak mengambil langkah segera seperti rangsangan peningkatan produktiviti, pelaburan atau menambah baik kecekapan," jelasnya.
Menurut Kementerian Kewangan Israel, kerajaan membelanjakan antara AS$2.2 bilion (RM7.03 bilion) dan AS$2.8 bilion (RM8.94 bilion) ketika melancarkan kempen ketenteraan ke atas Gaza yang meragut sekurang-kurangnya 2,100 nyawa penduduk Palestin dan 71 rakyat Israel.
Sementara itu, dua minggu lalu, kerajaan Israel bertindak meluluskan pemotongan peruntukan sebanyak dua peratus ke atas semua kementerian kecuali Kementerian Pertahanan dan Perkhidmatan Keselamatan Dalam Negeri Israel.
Bagaimanapun, Bank Israel mendakwa tindakan tersebut tidak memadai dan menggesa supaya cukai dinaikkan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan dramatik terhadap defisit Israel.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140910/lu_06/Ekonomi-Israel-merosot-akibat-perang#ixzz3CrQdQkZK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment