Saturday, 23 August 2014

Bayi, kanak-kanak jadi mangsa


BAPA, Tarek al-Rifi tidak dapat menahan kesedihan atas kematian anak lelakinya yang terkorban akibat serangan tentera Israel di Hospital Shifa, Gaza City kelmarin. - AFP
GAZA CITY 22 Ogos - Serangan tentera Israel ke atas Genting Gaza sejak 8 Julai lalu, bukan sahaja mengakibatkan sebanyak 469 bayi dan kanak-kanak Palestin terbunuh, malah lebih 1,000 daripada golongan itu turut mengalami kecederaan kekal.
Menurut Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) semalam, konflik tersebut turut menyebabkan lebih 3,000 yang lain cedera.
Ketua pejabat lapangan UNICEF di Gaza, Pernille Ironside berkata, situasi dahsyat konflik yang masuk hari ke-47 hari ini itu, memberi kesan buruk kepada sejuta penduduk Gaza yang berusia 18 tahun ke bawah.
Menurut Ironside, peperangan di Gaza memberi kesan yang besar dalam jumlah kematian, kecederaan dan kemusnahan infrastruktur, tetapi golongan kanak-kanak menerima impak yang lebih buruk termasuk dari segi kestabilan emosi dan psikologi.
Jelasnya, kanak-kanak Palestin berasa tiada tempat perlindungan yang selamat dan golongan itu memerlukan dorongan untuk berasa diri mereka selamat.
"Saya mendapati kanak-kanak di Gaza kurang berinteraksi dengan keluarga masing-masing dan sering dihantui mimpi buruk.
"Selain itu juga, mereka tidak mahu berenggang dengan ibu bapa masing-masing, sekali gus menunjukkan kanak-kanak terbabit trauma dengan konflik yang berlaku," katanya kepada agensi berita Xinhua.
Ironside turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kesihatan penduduk Gaza termasuk kanak-kanak dan orang dewasa yang mula diserang penyakit kudis, masalah kutu dan penyakit berjangkit yang lain.
Tambahnya, masalah berkenaan dipercayai berpunca akibat kekurangan air di tempat pelarian yang dihuni kira-kira 270,000 orang yang turut berisiko tinggi menghidap cirit-birit dan penyakit usus.
"UNICEF memantau dengan teliti risiko penyebaran penyakit di pusat perlindungan yang sesak dengan bantuan Kementerian Kesihatan Gaza, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Agensi Pekerjaan dan Pemulihan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNWRA) untuk pelarian Palestin.
"Buat masa ini, tiada penyebaran penyakit secara besar-besaran berlaku dan saya berharap situasi itu tidak bertambah buruk," katanya.
Dalam perkembangan lain, angka korban di Gaza terus meningkat apabila serangan udara tentera Israel mengakibatkan empat rakyat Palestin terbunuh di Genting Gaza, hari ini.
Laporan agensi perkhidmatan kecemasan Gaza menyebut, dua kematian berlaku di Deir al-Balah dan dua lagi di Nusseirat, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 2,083 orang dan 10,482 lagi cedera.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140823/lu_04/Bayi-kanak-kanak-jadi-mangsa#ixzz3BADZU55d
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment