Kota Bharu: “Sudah 22 ahli keluarga saya terkorban termasuklah dalam tempoh genjatan senjata, Ramadan lalu.
“Sememangnya kami tertekan dan kehilangan orang tersayang adalah bebanan emosi yang sukar ditanggung,” luah penuntut jurusan perubatan Universiti Islam Gaza, Palestin Ibrahim Al Agha.
Ibrahim, 20, ditemui di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, semalam bersama 12 lagi rakan sekampusnya yang berada di Malaysia menjalani latihan amali selama hampir sebulan.
Mereka tiba di negara ini minggu lalu menerusi usaha sama dengan Pertubuhan Aqsa Syarif.
Menurut Ibrahim lagi, dia pernah kehilangan 12 anggota keluarga dalam satu hari apabila rumah mereka musnah dibedil rejim Zionis.
“Tiada siapa sanggup hilang orang tersayang dalam jumlah yang ramai sekali gus.
Memang sedih dan sangat memilukan.
“Bagaimanapun, bagi rakyat Palestin, kami tiada pilihan kerana itulah rumah kami, dan percaya mereka yang meninggalkan kami, mati syahid.
“Untuk mengubat kelukaan itu saya sendiri menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dan bertugas secara sukarela membantu mangsa cedera,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Perubatan USM Prof Dr Din Suhaimi Sidek berkata, pihaknya bersama Aqsa Syarif akan mengadakan tabung khas bagi mengutip dana membantu Universiti Islam Gaza.
Katanya, kutipan bermula semalam dengan tabung bantuan diagih ke masjid sekitar bandar ini diselia Pengurus Aqsa Syarif Negeri Mohd Nurdin Mustafa.
Sementara itu, beliau berkata, 12 penuntut universiti berkenaan akan diberi ruang menjalani latihan amali terbaik di USM dan menimba pengetahuan secukupnya sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke negara asal.
“Sepatutnya mereka tiba lebih awal dan menjalani amali selama tiga bulan mulai Jun, namun berikutan siri serangan Israel dan genjatan senjata, terpaksa ditangguhkan dulu sehinggalah tiba minggu lalu.
“Kita juga mengadakan kutipan derma khas untuk membantu pihak universiti di sana menyedia keperluan belajar untuk penuntut mereka dan mensasarkan mengumpul sekurang-kurangnya RM20,000,” katanya.
Orang ramai yang mahu menderma boleh menyalur sumbangan ke akaun Maybank 557344058202 atas nama Tabung Islamic University of Gaza.
DR Din Suhaimi (berdiri lima dari kiri) bersama penuntut Universiti Islam Gaza di pejabat Pusat Pengajian Sains Perubatan USM.
No comments:
Post a Comment