Thursday 3 July 2014

Remaja Palestin diculik, dibunuh


Anggota polis Israel memeriksa lokasi mayat remaja Palestin yang rentung dijumpai di sebuah kawasan hutan di Baitulmaqdis, semalam. - AFP
BAITULMAQDIS 2 Julai - Seorang remaja Palestin dijumpai mati dalam keadaan rentung dipercayai dibunuh selepas diculik oleh kumpulan pelampau Yahudi yang mahu menuntut bela di atas kematian tiga remaja Israel yang diculik pada minggu lalu, sekali gus mencetuskan pertempuran antara kumpulan remaja Palestin dan polis Israel.
Kematian tersebut yang berlaku awal hari ini, merupakan yang kedua dalam tempoh dua hari membabitkan rakyat Palestin selepas seorang remaja lelaki ditembak mati di kem pelarian di Jenin oleh tentera Israel ketika mangsa membawa juadah berbuka puasa untuk keluarganya.
Mengulas tentang insiden terbaharu itu, jurucakap polis rejim Zionis, Luba Samri berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk Palestin tentang seorang remaja lelaki yang dipaksa memasuki sebuah kereta di Beit Hanina.
Jelasnya, sejam kemudian, mayat seorang remaja ditemukan di kawasan hutan Givat Shaul dekat barat laut Baitulmaqdis, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penculikan sebelum itu.
Menurut laporan radio tentera Israel yang memetik kenyataan saksi, sebuah kereta berwarna hitam berhenti di sebelah mangsa yang sedang berjalan berdekatan sebuah pasar raya sebelum dipaksa memasuki kenderaan tersebut.
Jelas laporan itu, tidak lama kemudian, ahli keluarga remaja terbabit membuat laporan kepada pihak berkuasa tentang kehilangan anak mereka yang dikenali sebagai Mohammed Hasan Abu Khdair berusia 17 tahun.
Susulan itu, polis melancarkan gerakan mencari mangsa dan mengadakan sekatan jalan raya sebelum mayat remaja berkenaan ditemukan mati dibunuh.
Dalam pada itu, portal berita Al-Jazeera melaporkan, sekurang-kurangnya 30 orang cedera termasuk tiga wartawan apabila polis Israel melepaskan tembakan peluru getah ke arah kumpulan remaja Palestin yang membantah kematian remaja berkenaan di kawasan penempatan Shuafat.
Insiden kematian remaja Palestin tersebut berlaku hanya sehari selepas tentera udara Israel menggempur 35 lokasi di Genting Gaza dengan alasan memburu kumpulan pergerakan Islam Hamas.
Bagaimanapun, serangan tersebut dipercayai untuk membalas dendam terhadap kematian tiga remaja Yahudi yang didakwa diculik dan dibunuh oleh Hamas.
Hamas bagaimanapun menafikan terlibat dalam kes penculikan remaja Yahudi tersebut. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140703/lu_03/Remaja-Palestin-diculik-dibunuh#ixzz36LqV1XXW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment