Thursday, 3 July 2014

Remaja mangsa dendam


Baitulmaqdis: Penduduk Palestin bertempur dengan tentera Israel semalam selepas penemuan satu mayat menimbulkan syak bahawa seorang remaja Palestin dibunuh oleh penduduk Israel kerana membalas dendam terhadap kematian tiga remaja Yahudi yang diculik sebelum ini.

Penduduk di Shuafat memberitahu media, mereka melihat seorang remaja ditarik masuk ke dalam sebuah kenderaan di perkarangan sebuah pasar raya malam kelmarin.

Remaja itu dikenal pasti sebagai Mohammed Abu Khudair, 16.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu dan sekatan jalan raya dilakukan bagi mengesan suspek.

“Tidak lama selepas itu, polis menemui mayat di sebuah kawasan di Baitulmaqdis dan melancarkan siasatan kemungkinan ia remaja berkenaan,” katanya.

Seorang pegawai kanan Fatah, Dmitry Diliani memberi tahu media, keluarga mangsa sudah mengenal pasti mayat itu dan mengesahkan ia Mohammed.

“Kerajaan Israel bertanggungjawab terhadap keganasan yang dilakukan Yahudi dan penculikan serta pembunuhan yang berlaku di Baitulmaqdis,” katanya.

Satu sumber keselamatan Israel berkata, mereka mengesyaki kejadian yang menimpa mangsa mungkin dilakukan bagi membalas dendam terhadap kematian tiga remaja Yahudi yang mayat mereka ditemui Isnin lalu selepas dilapor diculik hampir tiga minggu lalu.

Ratusan remaja Palestin menyekat laluan kereta api ringan di wilayah itu dan melontar batu ke arah tentera Israel, sebaik berita mengenai penculikan Mohammed tersebar, semalam.

Sementara itu, pihak berkuasa Zionis semalam meruntuhkan rumah seorang penduduk Palestin, Ziad Awad, yang ditangkap baru-baru ini atas tuduhan menembak mati seorang anggota polis.

Jurucakap tentera Israel, Peter Lerner berkata, tindakan itu adalah satu pengajaran kepada penduduk Palestin.- Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

No comments:

Post a Comment