3 Julai 2014
JERUSALEM - Puluhan cedera dalam satu pertempuran terbesar yang berlaku kali ini di Timur Jerusalem apabila warga Palestin bergaduh dengan polis setelah mayat seorang remaja ditemui dalam sebuah hutan, semalam.
Mayat remaja lelaki, Mohammed Abu Khdair, 17 daripada Shuafat ditemui awal pagi semalam.
Polis memberitahu sedang menyiasat motif sebenar kematian sama ada kerana balas dendam ekoran tiga remaja Israel yang diculik awal minggu ini ditemui mati.
Jurucakap polis berkata, Mohammed dilaporkan hilang awal Rabu dan saksi memberitahu melihat mangsa diculik sekitar 3.45 pagi ketika dalam perjalanan ke masjid dan dipaksa masuk ke dalam kereta oleh dua atau tiga lelaki.
"Saya dengar orang menjerit di luar yang menyatakan Mohammed telah diculik.
"Ketika saya berlari keluar, dia sudah tiada dan orang-orang disitu memberitahu dia dibawa pergi oleh sebuah kereta," kata sepupu mangsa, Abu Moussa Abu Khdair yang ketika itu berada di dalam masjid.
Mayat tersebut telah dibakar sehingga menyukarkan pengecaman.
Menurut keluarga terdekat, bapa mangsa menanti di balai polis.
Kejadian itu menyebabkan pertempuran lebih 12 jam di Shuafat, semalam.
Mereka mula membaling batu kepada polis dan kemudiannya polis menempak gas pemedih mata dan peluru getah.
Menurut Palestinian Red Crescent, lebih 50 cedera sepanjang hari itu termasuk empat wartawan dan tiada kecederaan bagi polis.
Penculikan Mohammed berlaku beberapa jam selepas pengembumian tiga remaja Israel yang ditemui mati Isnin lalu berhampiran Hebron.
No comments:
Post a Comment