Thursday 16 May 2013

ICC siasat komando Israel serang flotila

THE HAGUE 15 Mei - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), semalam membuka kertas siasatan terhadap kes serbuan komando Israel ke atas flotila antarabangsa ke Gaza pada 2010 yang mengakibatkan sembilan aktivis Turki maut.
Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda dalam kenyataannya berkata, siasatan itu dijalankan untuk meneliti sama ada tindakan rejim Zionis Israel itu telah melakukan jenayah perang atau jenayah kemanusiaan.
"ICC akan melaksanakan siasatan awal ke atas kes berkenaan bagi menentukan kriteria kes itu sebelum siasatan penuh dilakukan," jelasnya.
Sembilan aktivis Turki maut dalam insiden itu, selepas komando Israel menyerbu enam buah kapal yang menyertai flotila keamanan ke Gaza pada 31 Mei 2010.
Bensouda berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan barisan peguam di Turki yang akan membantu ICC dalam kes tersebut.
"Selepas melakukan analisis secara teliti berdasarkan maklumat yang diperolehi, saya akan mengumumkan tentang proses kes ini kepada umum," katanya.
Barisan peguam yang menyerahkan kes setebal 17 muka surat itu berkata, serangan ke atas flotila itu telah memberi kesan yang serius kepada masyarakat antarabangsa dan ICC merupakan sebuah institusi yang sesuai untuk menegakkan keadilan.
Jelas mereka, tindakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) itu secara jelas menunjukkan dasar rejim Zionis Israel sanggup menggunakan kekerasan bagi menghalang misi kemanusiaan ke Gaza.
"Serangan IDF ke atas flotila dilihat sebagai jenayah perang dan jenayah kemanusiaan," kata mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130516/lu_02/ICC-siasat-komando-Israel-serang-flotila#ixzz2TOzj2B8z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment