Saturday, 26 November 2016

Israel kawal kebakaran di Haifa




KEADAAN kebakaran di Haifa, utara Israel, kelmarin.



Agensi
Baitulmaqdis: Israel semalam berjaya mengawal kebakaran di Haifa, bandar ketiga terbesarnya yang menyebabkan puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Bagaimanapun, rejim itu masih bertarung untuk memadamkan lebih 12 kebakaran lain di seluruh negara itu, hari keempat berturut-turut.

Sehingga petang semalam, kira-kira 60,000 penduduk masih belum kembali ke rumah masing-masing selepas menyelamatkan diri dari kebakaran besar di Haifa itu.

Polis dan bomba masih berada di sekitar bandar berkenaan kerana bimbang kebakaran merebak semula.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, puluhan penduduk dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan akibat terhidu asap. Ratusan rumah rosak.

Dalam langkah yang dianggap pelik, rejim Zionis itu mengerahkan pasukan simpanan tentera menyertai polis dan bomba serta menggunakan beberapa pesawat yang dihantar beberapa negara untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, penduduk sebuah kampung kecil Yahudi di kawasan hutan berhampiran Baitulmaqdis dipindahkan pagi semalam apabila beberapa rumah terbakar.

Menurutnya, 12 orang ditangkap kerana didakwa memulakan kebakaran dengan sengaja.

Pemimpin rejim Israel berkata, ada kemungkinan penyerang Arab sengaja mencetuskan kebakaran itu.

Ketua Polis Israel, Roni Alsheich memberitahu wartawan, siasatan awal menunjukkan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan ‘bermotifkan politik.’

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Gilad Erdan, menuduh kumpulan minoriti, merujuk kepada sama ada penduduk Arab warga Israel atau rakyat Palestin, bertanggungjawab.

Menteri Pelajaran, Naftali Bennett, ketua parti pelampau Yahudi berkata, penduduk Yahudi tidak mungkin memulakan kebakaran itu, sebaliknya menyalahkan ‘pengganas nasionalis,’ merujuk kepada penduduk Palestin.

Pemimpin Palestin tidak mengulas mengenai kebakaran itu. Bagaimanapun, Ayman Odeh, tokoh politik Arab di Israel membantah dakwaan penduduk Arab bertanggungjawab, sebalik ya mendakwa rejim Israel mengambil kesempatan untuk memburukkan penduduk minoriti Arab.

Kebakaran bermula tiga hari lalu di Neve Shalom, berhampiran Baitulmaqdis, disusuli dengan kebakaran di Zichron Yaakov, utara Israel dan kawasan lain berhampiran Baitulmaqdis sebelum merebak ke Haifa.

Beberapa negara, termasuk Russia, Perancis, Cyprus, Turki, Croatia, Greece dan Itali menghantar bantuan memadamkan kebakaran itu.

Pihak berkuasa Palestin turut menawarkan pasukan bombanya untuk membantu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:08 AM

No comments:

Post a Comment