KUALA LUMPUR 6 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengutuk tindakan rejim Zionis memintas dan merampas sebuah kapal yang membawa aktivis misi Women Boat to Gaza (WBG) yang turut disertai oleh seorang rakyat Malaysia, semalam.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, tindakan merampas kapal Zaytouna-Olivia itu tidak wajar dilakukan kerana kapal tersebut datang secara aman tanpa sebarang provokasi dan tidak membawa senjata atau bantuan kemanusiaan.
Katanya, tindakan Israel menghalang kapal tersebut di perairan antarabangsa daripada memasuki Gaza juga jelas mencabuli undang-undang maritim antarabangsa.
“Bagaimanapun kesemua anggota misi sebanyak 10 orang termasuk rakyat Malaysia iaitu Dr. Fauziah Mohd. Hasan serta tiga orang anak kapal berada dalam keadaan selamat dan kini dilaporkan ditempatkan di Pelabuhan Ashdod,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Kapal Zaytouna-Olivia dirampas tentera rejim Zionis semalam kira-kira pukul 3.58 petang waktu tempatan (9.58 malam waktu Malaysia) ketika berada kira-kira 42 batu nautika dari pantai Gaza. - UTUSAN ONLINE
Video oleh MOHD. HAZLI HASSAN
No comments:
Post a Comment