Beberapa hari selepas Presiden AS, Barack Obama meluluskan pakej bantuan ketenteraan kepada Israel berjumlah AS$38 bilion (RM 157.12 bilion) dan menghadiri majli pengebumian bekas Presiden Israel, Shimon Peres di Baitulmaqdis, White House mengutuk sekeras-kerasnya pembinaan 300 unit penempatan haram Yahudi yang terletak lebih dekat dengan Jordan berbanding Israel.
Setiausaha Akhbar AS, Josh Earnest berkata, White House memberi amaran tersebut ekoran bakal menjejaskan prospek run­dingan damai antara Asia Barat serta keselamatan Israel.
“Kami ada menerima jaminan daripada Israel yang bercanggah dengan pengumuman ini. Saya rasa apabila kita berbicara mengenai bagaimana seorang rakan melayan sahabatnya, itu boleh menjadi punca kita bimbang terhadap mereka,” kata Earnest.
Komen luar biasa yang dilontarkan oleh White House itu adalah sebagai salah satu usaha terakhir untuk menghidupkan semula rundingan damai sebelum Obama meninggalkan jawatan Presiden pada Januari ini.
Nada keras AS terhadap penem­patan haram Yahudi berkenaan turut meletakkan Israel dalam situasi bahaya bahawa hubungan masa hadapan mereka dengan AS akan berisiko dan Washington lebih mempercayai Palestin serta sekutu Arab mereka.
Selain itu, Washington telah lama membantah rancangan Israel untuk membina penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang boleh dituntut oleh Palestin dalam sebarang perjanjian damai antara kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Israel menafikan tuduhan berkenaan dan menegaskan penempatan itu hanya akan dibina di kawasan sedia ada.
“Israel terus komited kepada penyelesaian pembentukan dua negara untuk dua suku bangsa, di mana sebuah negara Palestin yang bebas tentera mengiktiraf Israel,” kata kementerian itu. – AFP