Ahli Parlimen Belanda enggan salam PM Israel
10 September 2016 12:31 AM
Reaksi Benjamin Netanyahu (dua dari kanan) apabila Tunahan Kuzu (kiri) enggan bersalaman dengannya di bangunan Parlimen Belanda di The Hague, Rabu lalu. AGENSI
THE HAGUE 9 Sept. - Perdana Menteri Israel berdepan detik memalukan apabila seorang Ahli Parlimen Belanda enggan bersalaman dengannya sewaktu beliau mengadakan lawatan kerja ke Parlimen negara ini, kelmarin.
Menurut laporan Arab News, insiden itu berlaku ketika Netanyahu mengadakan pertemuan dengan ahli politik Belanda dan bersalaman dengan mereka di bangunan Parlimen, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun ketika tiba giliran Tunahan Kuzu untuk bersalaman dengan Netanyahu, wakil rakyat itu hanya mengangkat tangan kanannya ke dada sebelum meletakkan kembali kedua-dua tangannya ke belakang badan.
Pemimpin Israel itu kemudian dirakam menjelingkan matanya dan tidak mengendahkan Kuzu sebelum beliau meneruskan bersalaman dengan Ahli Parlimen lain.
Insiden itu sempat dirakam dan tersebar di internet, namun menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Kuzu yang dilahirkan di Turki sebelum berhijrah ke Belanda semasa kecil merupakan seorang pemimpin parti politik Belanda, Denk, sebuah pergerakan antiperkauman yang diwujudkan pada Februari 2015 bagi memperjuangkan hak pelarian.
Beliau yang turut memakai lencana bendera Palestin pada majlis itu berkongsi detik tersebut di akaun Facebook miliknya.
Kuzu berkata, beliau bukan sahaja tidak bersalaman dengan Netanyahu, malah turut menunjukkan kepada Perdana Menteri Israel itu gambar kanak-kanak Palestin selepas acara rasmi berlangsung.
“Ada antara gambar itu memaparkan kanak-kanak Palestin ditahan oleh tentera Yahudi selain imej tentara mengacukan senjata kepada seorang ibu dan dua anaknya.
“Adakah ini demokrasi? Adakah ini teknologi?,” soal Kuzu kepada Netanyahu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/netanyahu-diaibkan-1.380944#sthash.Vjb5Y5XR.dpuf
No comments:
Post a Comment