Siasatan Netanyahu terbabit pengubahan wang haram | Dunia | Berita Harian:
"TEL AVIV: Pihak berkuasa undang-undang Israel meneliti dakwaan bahawa Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu terbabit dalam skim penggubahan wang haram berskala besar.
Laporan stesen televisyen Channel 10 menyatakan, pasukan petugas bersama polis dan pendakwa raya awam, dengan pembabitan Ketua Polis, Roni Alsheikh dan Peguam Negara, Avichai Mandelblit, menyiasat dakwaan berkenaan.
Maklumat yang sedang diteliti itu dilaporkan berpotensi membawa kepada siasatan penuh, dan jika terbukti berjaya boleh menyebabkan Netanyahu didakwa.
Menurut Channel 2 pula, kes itu tidak ada kaitan dengan siasatan terhadap bekas penasihat Parlimen Netanyahu, Perach Lerner, berhubung isu rasuah.
Tumpuan siasatan adalah pemindahan haram sejumlah besar wang tunai daripada ahli perniagaan asing ke akaun milik Netanyahu atau anggota keluarganya.
Operasi penggubahan wang haram dilaporkan membabitkan pegawai tinggi dalam sistem perundangan, dan, jika tuduhan itu benar, mempunyai kaitan mendalam dengan kewangan luar.
Penyiasat masih belum pergi ke luar negara untuk melakukan pemeriksaan kewangan dan perundangan, dan tiada suspek disoal siasat setakat ini.
Siasatan awal sudah dilakukan selama beberapa minggu, lapor Channel 2, menambah ia mungkin bertambah menjadi kes rasuah terbesar terhadap Netanyahu sehingga kini.
Beberapa ahli politik Israel percaya, jika pasukan petugas khas itu menemui bukti mencukupi untuk memfailkan dakwaan jenayah, kes itu akan membawa kepada peletakan dan pendakwaan Netanyahu.
Netanyahu kini dalam siasatan polis berkaitan dana kunjungan ke luar negara, salah guna dana awam untuk makanan dan hiburan dan menerima wang tunai bagi kempen politik secara haram. - AGENSI"
'via Blog this'