BEBERAPA orang anggota polis Israel berkawal di hadapan pintu masuk sebuah restoran berhampiran Pasar Sarona di Tel Aviv, semalam berikutan serangan penduduk Palestin di kawasan itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat penduduk Israel dan mencederakan enam yang lain. AP
TEL AVIV 9 Jun – Israel membatalkan permit 83,000 penduduk Palestin dari Baitulmaqdis untuk pergi ke Gaza sepanjang Ramadan ini, berikutan insiden serangan ke atas sebuah pasar raya di sini malam tadi, yang menyaksikan empat penduduk Israel terbunuh dan enam yang lain cedera.
Dalam kejadian itu, dua penduduk Palestin melepaskan tembakan rambang di Pasar Sarona berhampiran ibu pejabat tentera Israel, mencetuskan situasi panik dengan kedua-dua penyerang berkenaan yang berasal dari Hebron berjaya diberkas.
Menurut Facebook Aman Palestin, seorang penyanyi Israel, Sharon Holzman turut terbunuh dalam serangan itu.
Penyelaras Aktiviti-Aktiviti Kerajaan di Tebing Barat (COGAT) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 83,00 penduduk Palestin terjejas dengan langkah itu, manakala permit 500 penduduk Gaza untuk melawat ahli keluarga mereka dan Masjid al-Aqsa sepanjang Ramadan ini juga dibekukan sejak Isnin lalu.
Selain itu kata agensi berkenaan, permit kepada 204 orang saudara mara penyerang yang terbabit dalam serangan di Tel Aviv turut dibekukan.
“Kesemua permit untuk Ramadan terutamanya permit untuk melawat keluarga dari Judea dan Samaria ke Israel, dibekukan,” kata Cogat.
Dalam pada itu, pegawai kanan Hamas di Gaza, Mushir al-Masri berkata, pergerakan itu merestui serangan di Tel Aviv dan menyifatkan ia sebagai tindak balas terhadap jenayah Israel ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
“Operasi ini dilakukan selepas satu tempoh masa dengan ada yang percaya intifada terhenti selepas penahanan dan kerjasama keselamatan, namun insiden itu menunjukkan intifada sedang berlaku,” katanya. – AFP/DPA
No comments:
Post a Comment