GENTING GAZA - PALESTIN. Pesawat pejuang Israel membedil Genting Gaza selama tiga hari berturut-turut, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap provokasi terbaharu oleh tentera rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.
Saksi mendakwa terdapat dua siri serangan udara dilancarkan ke atas Beit Lahia di utara Gaza dan Khuzaa di tenggara Khan Yunis, pagi semalam.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel memaklumkan operasi itu kononnya menyasarkan empat kedudukan baharu gerakan Hamas, namun tiada kematian dilaporkan.
Insiden itu berlaku sehari selepas penduduk Khan Yunis, Aytah al-Amur, 54, terkorban apabila rumahnya dibedil kereta kebal rejim Zionis.   
Difahamkan, Tel Aviv telah melancarkan kempen pengeboman baharu terhadap wilayah Gaza sejak Rabu lalu hingga menyebabkan sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam memberi amaran keras untuk bertindak balas terhadap rejim Zionis.
Pada Julai 2014, tentera Israel telah melancarkan Operasi Perlindungan Sempadan selama 50 hari ke atas Gaza dan meragut sekurang-kurangnya 2,200 nyawa. - Press TV