Ahli keluarga Zeina yang maut akibat terkena bedilan kereta kebal tentera Israel tidak dapat menahan kesedihan semasa majlis pengebumian wanita itu di Gaza, kelmarin. REUTERS
GAZA CITY 6 Mei – Israel meneruskan serangannya ke atas Gaza, masuk hari kedua semalam, mengakibatkan seorang wanita Palestin terbunuh apabila kediamannya di selatan Genting Gaza dibedil kereta kebal rejim Zionis.
Kereta kebal Israel yang diletakkan di garisan sempadan mengebom kediaman Zeina Al-Amour, 54, setelah mendakwa premis itu digunakan oleh Hamas sebagai markasnya.
Bedilan kereta kebal Israel itu disusuli dengan serangan mortar pejuang Palestin dari kawasan Khan Younis di selatan Gaza ke arah wilayah Israel.
Berita kematian Zeina disahkan pengurusan Hospital Nasser, manakala seorang lagi penduduk Palestin berusia 21 tahun cedera akibat serangan artileri Israel di kawasan terbabit.
Sebelum iktu, tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza mengakibatkan empat penduduk Palestin cedera, dengan tiga daripada mangsa adalah kanak-kanak.
Serangan tentera Israel itu mencetuskan pertempuran antara pergerakan Hamas dan kumpulan pejuang Palestin yang lain dengan tentera Israel, kelmarin, yang pertama sejak serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza pada 2014, selepas Israel mendakwa menemukan sebuah terowong berhampiran wilayahnya.
Tentera Israel mendakwa pihaknya menemukan sebuah terowong baharu, semalam selepas menjumpai struktur sama pada pertengahan 2014.
Dalam perkembangan berkaitan, jet pejuang Israel, hari ini mengebom sebuah kemudahan pergerakan Hamas di selatan Gaza sebagai mebalas serangan mortar yang didakwa dilakukan oleh pergerakan Hamas itu ke wilayah Israel. – AFP
No comments:
Post a Comment