Wednesday 20 April 2016

Singapura puji rejim Zionis Israel


Lee-Hsien-Loong-007
JERUSALEM, Selasa – Singapura memuji identiti dan usaha yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel untuk mendapatkan hak mereka walau dengan apa cara sekalipun.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata terdapat persamaan dan sedikit perbezaan antara Singapura dan Israel dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang maju dan aman.
“Israel perlu berjuang dalam peperangan untuk mempertahankan hak mereka walaupun negara Israel berusia kurang daripada 70 tahun.
“Singapura pula tidak perlu melalui peperangan seperti itu kecuali semasa konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia terhadap Malaysia termasuk Singapura pada tahun 1960,” katanya.
Lee berkata, Israel merupakan sebuah negara yang mencerminkan bakat manusia yang luar biasa dan semangat waja untuk mengatasi sebarang kemungkinan.
“Sama ada mengairi padang pasir untuk dijadikan kawasan pertanian, membuat kemajuan di dunia melalui teknologi tempatan atau mewujudkan kecemerlangan dalam bidang seni, muzik dan seni bina.
“Singapura mengagumi Israel yang telah mencapai banyak kejayaan dan kemajuan,” katanya.
Malah katanya Israel mempunyai Taurat dan Talmud yang boleh dikesan kembali selepas 5,000 tahun sejarah Yahudi sedangkan Singapura hanya sebuah negara moden yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Universiti Hebrew setelah menerima ijazah doktor kehormat.
Ijazah tersebut disampaikan oleh Rektor Universiti Hebrew, Asher Cohen dan Presiden Universiti Hebrew, Menahem Ben- Sasson dalam sebuah majlis sederhana tetapi bermaruah yang turut menampilkan penyanyi Israel, Nizam Eschel.
“Saya bangga anugerah ini datang daripada sebuah universiti terkenal dengan pencapaian luar biasa yang telah ditonjolkan oleh alumninya termasuk pemenang lapan Hadiah Nobel dan melahirkan Presiden dan Perdana Menteri Israel,” ujarnya.
Lee juga memberitahu bahawa beliau telah membaca dua buah buku mengenai Israel yang memberi pendekatan berbeza kepadanya mengenai negara itu.
Katanya, buku itu telah memberikan kesan yang mendalam terhadapnya dan mengubah persepsi terhadap negara rejim Zionis itu.
“Mendiang ayah saya, Lee Kuan Yew turut membaca buku itu dan beliau berkata penulis tidak terlepas walau satu maklumat mengenai kesungguhan dan semangat mereka yang terlibat mengasaskan negara Israel,” katanya.
Menurutnya, pandangan yang dikemukakan oleh mendiang bapanya itu turut dikongsi oleh bekas Perdana Menteri Israel, David Ben-Gurion yang bersetuju bahawa karya itu sebagai sebuah propaganda yang terbaik pernah ditulis mengenai Israel.
Lee sedang dalam rangka lawatan seminggu ke Timur Tengah, untuk melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Jordan, Israel dan wilayah Palestin. – Agensi

No comments:

Post a Comment