Wednesday 20 April 2016

Tolak tuntutan ‘haram’ Israel


Tolak tuntutan ‘haram’ Israel



20 APRIL 2016 TEHERAN - IRAN. Kerajaan Iran, Jerman, Liga Arab dan Amerika Syarikat (AS), kelmarin menyertai Syria menolak tuntutan haram Israel ke atas Bukit Golan, sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengumumkan wilayah tersebut akan menjadi sebahagian daripada Tel Aviv untuk selama-lamanya.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar, Hossein Jaberi Ansari menegaskan perbuatan Israel itu secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan beliau menggesa masyarakat dunia supaya mengambil langkah serius untuk menghentikan tindakan provokatif tersebut.
"Ia adalah prinsip asas undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB yang menetapkan tiada negara boleh menuntut hak atau merampas wilayah lain secara begitu saja," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil al-Arabi juga mengecam kenyataan Netanyahu selain menyifatkan ia sebagai provokasi melampau yang mencabuli undang-undang antarabangsa.
Dalam kenyataan berasingan, sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) juga menolak tuntutan haram tersebut dan menyatakan ia tidak akan sesekali mengiktiraf wilayah itu sebagai milik Tel Aviv.
Ketika mesyuarat Kabinet, Ahad lalu, Netanyahu memaklumkan ia menolak sebarang kemungkinan untuk mengembalikan Bukit Golan kepada Damsyik.
Beliau dengan angkuh turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengiktiraf Bukit Golan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, sekali gus mencetuskan kecaman di seluruh dunia.
Susulan itu, Damsyik bertindak memberi respons segera apabila Timbalan Menteri Luarnya, Faisal Mekadad berikrar untuk 'membebaskan' Bukit Golan dari cengkaman rejim Israel.
"Kami bersedia melakukan apa sahaja untuk mengembalikan Bukit Gloan kepada Syria termasuk menggunakan tindakan ketenteraan," tegasnya. - Press TV

No comments:

Post a Comment