ARRABA, Palestin – Beribu-ribu penduduk Palestin dan warga Israel berketurunan Arab berkumpul kelmarin untuk menyambut ulang tahun ke-40 ‘Hari Tanah’ bersempena pembunuhan enam penduduk Arab-Israel kerana menentang rancangan merampas tanah orang Arab.
Penduduk di pekan Arraba mengibarkan bendera dan panji-panji Palestin tertera perkataan ‘Bumi adalah tanah kelahiran’ sebelum mereka bertafakur selama satu minit bagi memperingati mereka yang ‘syahid’ pada tahun 1976.
Pada 30 Mac 1976, polis dan tentera Israel menembak mati enam penunjuk perasaan warga Israel berketurunan Arab yang menyertai bantahan beramai-ramai terhadap rancangan merampas tanah orang Arab di Galilee.
Pertubuhan utama yang mewakili orang Arab di Israel, Jawatankuasa Susulan Tinggi telah menyeru penduduk keluar beramai-ramai di Arraba di wilayah Negev, tempat sekitar 1,000 orang berkumpul.
“Hari Tanah adalah satu titik permulaan penting terhadap perjuangan kita menentang diskriminasi kaum dan polisi menghalau penduduk yang dilancarkan ketika Nakba dan masih berterusan sehingga kini.
“Kita juga sedang melihat peningkatan penganiayaan, kekejaman dan kekangan kebebasan,” kata jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan akhbar.
Kenyataan tersebut merujuk kepada Nakba atau bencana besar yang melanda penduduk Palestin apabila Israel dibentuk pada 1948. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz44cZEfjrB
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment