Sunday 13 December 2015

Selesaikan dulu isu hak asasi Palestin – Raja Jordan




ROM – Pemerintah Jordan, Raja Abdullah II (gambar) kelmarin memberi amaran kepada Barat bahawa strategi anti-keganasan global memerlukan tindakan bagi memastikan hak rakyat Palestin dihormati.
“Hari ini (kelmarin) ialah Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa, namun sehingga penduduk Palestin mendapat hak mereka, berjuta-juta orang di seluruh dunia akan memandang sinis pada keadilan global,” katanya dalam satu persidangan tentang keselamatan rantau Mediterranean di Rom.
Raja Abdullah menerusi ucap tamanya pada seminar tiga hari itu turut mengingatkan kerajaan Eropah tentang bebanan pelarian yang ditanggung oleh negaranya dan negara-negara lain yang bersempadan dengan Syria.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, Itali dan negara-negara Eropah lain berdepan dengan kebanjiran pela­rian.
“Jordan memahami ketabahan dan tindak balas kemanusiaan yang dituntut daripada kamu (Eropah) kerana negara kami telah menghadapi beban krisis pelarian yang lebih besar dan lama,” katanya.
Menurut Raja Abdullah, Jordan yang menjadi penempatan jangka panjang kepada lebih dua juta pela­rian Palestin kini menampung 1.4 juta pelarian dari Syria atau bersamaan seorang bagi setiap lima warga Jordan.
“Satu pertiga daripada bajet negara diperuntukkan untuk kos berkaitan pelarian.
“Bagi Jordan, tindakan belas kasihan adalah tanggungjawab moral. Namun, realitinya kami dan beberapa negara tuan rumah serantau lain memikul beban ini bagi pihak seluruh masyarakat antarabangsa,” tambahnya.
Abdullah berkata, konflik di Syria hanya boleh ditamatkan melalui proses politik, tanpa mengulas tentang kempen ketenteraan yang sedang berlangsung terhadap kumpulan militan Islamic State di negara bergolak itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3u9chOPHI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment