Wednesday, 9 December 2015

Penyumbang AS salur jutaan dolar kepada peneroka Yahudi

SELASA, 8 DISEMBER 2015 @ 9:18 AM

BAITULMAQDIS: Penyumbang persendirian Amerika Syarikat (AS) menyalurkan lebih AS$220 juta (RM937.74 juta) bagi pembinaan penempatan Tebing Barat Yahudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia dilakukan menerusi sumbangan dipotong cukai, secara berkesan memberi subsidi terhadap dasar yang ditentang pentadbiran negara itu selama berdekad, menurut satu siasatan diterbitkan dalam akhbar Israel semalam.

Akhbar harian The Haaretz mendapati, kira-kira 50 organisasi tanpa keuntungan dari seluruh AS mengumpul dana untuk membina penempatan di Tebing Barat, satu kawasan yang bakal dijadikan ibu negara akan datang Palestin, di sepanjang Timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza. Israel menawan semua tiga kawasan itu dalam perang Timur Tengah 1967.

 Akhbar berkata, status dipotong cukai bermaksud kerajaan AS "memberi insentif dan secara tidak langsung menyokong pergerakan penempatan Israel," walaupun Washington membantah pembinaan penempatan dan menganggapnya sebagai halangan perdamaian dengan Palestin.

Siasatan The Haaretz mendapati, sesetengah wang yang dihantar penyumbang AS termasuk menyediakan bantuan guaman kepada pelampau Yahudi menerusi kumpulan Israel digelar Honenu.

 Laporan juga mengatakan, sesetengah wang dibelanjakan untuk membayar pemimpin peneroka Menachem Livni, seorang rakyat Israel yang dipenjarakan berikutan aktivitinya dalam kumpulan radikal Yahudi yang menjalankan serangan ke atas rakyat Palestin pada tahun 1980-an.

Selain itu, wang sumbangan turut digunakan untuk tujuan membeli bangunan di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis selain memperbaiki keadaan hidup peneroka Yahudi.

 Akhbar berkata, laporan itu meneliti dana disumbangkan antara tahun 2009 dan 2013. Rundingan damai runtuh tahun lalu dan satu gelombang keganasan Israel-Palestin memasuki bulan ketiga. Serangan hampir setiap hari rakyat Palestin, kebanyakannya insiden tikaman, mengorbankan 19 rakyat Israel, sementara lebih 108 penduduk Palestin dibunuh tentera Israel.


 Israel menuduh pemimpin politik dan agama Palestin menghasut keganasan, namun Palestin mengatakan ia adalah akibat hampir 50 tahun penjajahan Israel dan harapan semakin pudar mendapat kemerdekaan.

Palestin mendakwa, pembesaran berterusan penerokaan Yahudi di tanah yang dirampas membuktikan Israel enggan berdamai. Hampir 600,000 peneroka haram Yahudi tinggal di timur Bailtulmaqdis dan Tebing Barat. -AP

 PENEMPATAN Tebing Barat Yahudi di Baitulmaqdis. - Gambar hiasan 

No comments:

Post a Comment