GAMBAR memaparkan sekumpulan tentera Israel berkawal di luar pintu masuk Pusat Kawalan Jalama di Baitulmaqdis, baru-baru ini. AGENSI
LONDON 7 Nov. – Sebuah organisasi hak asasi manusia antarabangsa mendedahkan bahawa pasukan keselamatan Israel telah membunuh 31 penduduk Palestin yang ditahan kerana mengadakan tunjuk perasaan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, sejak berlakunya intifada ketiga pada Oktober lalu.
Laman web The Palestinian Information Centre memetik laporan kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean sebagai berkata, rejim Zionis itu dengan sengaja membunuh penduduk Palestin yang ditahan dengan membiarkan mereka berada dalam keadaan cedera untuk jangka masa yang panjang, sebelum meninggal dunia.
Salah seorang penunjuk perasaan Palestin terbabit adalah Mohamed Nazal, 17, di mana mangsa yang cedera dibiarkan tanpa rawatan selama 105 minit sebelum dibunuh.
Laporan itu menyebut Mohamed dibunuh oleh tentera Isarel pada 31 Oktober lalu di Pusat Kawalan Jalama, Baitulmaqdis.
Badan hak asasi itu turut mendedahkan bagaimana seorang wartawan, Iman Silawi yang tiba di tempat kejadian sejam selepas insiden pembunuhan itu, dihalang tentera Israel daripada mendekati mangsa.
“Mohamed terbaring di lantai kira-kira 100 meter dari pusat kawalan, di mana saya dan beberapa orang tentera Israel berdiri berhampiran pintu pagar pusat kawalan itu.
“Mangsa meninggal dunia selepas dipukul di kepala dan leher sebelum diheret serta dibogelkan,” kata Iman.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Palang Merah Palestin selepas disahkan meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment