Saturday, 7 November 2015

Mesir tembak 
mati nelayan Palestin


07 November 2015 1:12 AM



GAZA CITY 6 Nov. - Tentera Laut Mesir me­nembak mati seorang nelayan Palestin dan mencederakan beberapa orang penduduk Palestin yang lain di kawasan pantai berhampiran sempadan kawasan yang ditadbir pergerakan Hamas di Gaza dan Mesir, semalam.
Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qudra, mangsa yang ditembak mati dikenali sebagai Faris Meqdad, 18.
Kementerian Dalam Negeri Gaza mengutuk tindakan tentera Mesir itu dan menuntut supaya siasatan dijalankan.
“Kami mengutuk tindakan yang dilakukan tentera Mesir sehingga mengorbankan seorang nelayan kami dan mencederakan beberapa orang yang lain. Siasatan perlu dijalankan,” jelas kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, tentera Mesir se­ring melepaskan tembakan ke arah penduduk Gaza kerana didakwa menyeberangi sempadan maritim antara Mesir dan wilayah Palestin di Gaza.
Mesir kini jarang membuka pintu sempadannya dengan Gaza, dan wilayah Palestin itu turut dikenakan sekatan oleh Israel.
Sejak penyingkiran Presiden Mohammed Mursi pada 2013, beratus-ratus terowong haram yang digunakan oleh penduduk Palestin untuk membawa masuk barangan termasuk senjata dari Sinai ke Gaza telah dimusnahkan oleh tentera Israel dan Mesir.
Pergerakan Hamas yang mentadbir Genting Gaza kehilangan sekutu dan berdepan hubungan tegang dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, yang menyingkirkan Mursi. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mesir-tembak-8232-mati-nelayan-palestin-1.155544#sthash.ee5vHbvU.dpuf

No comments:

Post a Comment