Monday, 12 October 2015

Israel bom wanita hamil, anak kecil


SEORANG bapa, Yehya Hasan menangisi pemergian anak perempuannya, Rahaf yang maut dalam serangan udara rejim Zionis semalam. - AFP


BANDAR GAZA, Wilayah Palestin - Satu serangan udara Israel membunuh seorang wanita mengandung dan anak kecilnya di Gaza, manakala seorang wanita Palestin meletupkan sebuah bom kereta di Tebing Barat semalam.
Keganasan yang meningkat sejak beberapa hari lalu menimbulkan kebimbangan gelombang kebangkitan atau intifada ketiga akan meletus di Palestin.
Gaza dilanda keganasan sejak Jumaat lalu dengan pertempuran di sempadan menyebabkan sembilan warga Palestin maut terkena bedilan rejim Zionis termasuk beberapa remaja. Tentera Israel kelmarin mengebom dua fasiliti pembuatan senjata Hamas selepas pejuang-pejuang di Gaza melepaskan dua bedilan roket disusuli percubaan untuk menyeberangi sempadan oleh pejuang Hamas.
Sebuah roket itu mengenai kawasan padang di selatan Israel sementara roket kedua berjaya dipintas.
Serangan balas Israel pula memusnahkan sebuah rumah di Zeitun, utara Gaza dan membunuh Nur Hassan, 30 serta anak perempuannya yang berumur dua tahun, Rahaf, kata pasukan perubatan Gaza.
Pertempuran di sempadan yang bermula Jumaat lepas berlaku selepas ketua Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh menggesa penduduk Palestin melancarkan gelombang intifada ketiga.
Sementara itu, satu letupan bom dekat Baitulmuqaddis berlaku selepas seorang anggota polis melihat sebuah kenderaan mencurigakan dekat kawasan penempatan haram Yahudi di Maale Adumin dan mengarahkan wanita berusia 31 tahun itu supaya berhenti.
“Dia keluar dari kereta dan meletupkan bahan letupan di dalam kenderaan itu.
“Penyerang parah sementara anggota polis itu cedera ringan dalam serangan tersebut,” kat jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1012&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3oIoJ8dTz 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment