HEBRON – Seorang pemuda Palestin terbunuh semasa operasi tentera Israel di selatan Tebing Barat sebelum waktu Subuh semalam.
Dalam kejadian berasingan, seorang wanita cedera selepas ditembak tentera rejim Zionis yang didakwa cuba menikam seorang anggota mereka.
Kedua-dua kejadian itu berlaku di kawasan Hebron ketika ketegangan memuncak menjelang cuti Aidiladha dan Yom Kippur di samping pertempuran selama tiga hari di kawasan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis minggu lalu.
Seorang jurucakap tentera Israel berkata, lelaki Palestin itu maut disebabkan bahan letupan yang dia ingin lontar kepada sebuah kenderaan tentera.
Anggota keselamatan Palestin bagaimanapun mendakwa lelaki itu ditembak mati tentera Israel di kampung Dura berhampiran Hebron. Mangsa dikenali sebagai Dia al-Talahmeh, 21.
Jurucakap Israel itu memaklumkan satu rondaan diadakan bagi membersihkan longgokan batu yang menghalang sebuah jalan raya di pinggir Hebron.
“Anggota tentera terbabit mendengar satu letupan dan selepas diperiksa mereka menemui mayat seorang lelaki Palestin terbunuh disebabkan bahan letupan yang dia ingin lontar kepada kenderaan kami,” katanya.
Dalam kejadian lain, tentera Israel menembak dan mencederakan seorang wanita Palestin di berhampiran pusat bandar Hebron, kata beberapa saksi. Tentera Israel mendakwa wanita itu cuba menikam anggota mereka. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3mVYHuc7R
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment