KABINET Israel meluluskan penggunaan peluru hidup ke atas mana-mana individu yang membaling batu ke arah pasukan polis atau awam. AGENSI
JERUSALEM 25 Sept. – Kabinet Israel hari meluluskan penggunaan peluru hidup ke atas mana-mana individu yang didapati membaling batu.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melalui satu kenyataan di sini berkata, pelaksanaan undang-undang itu adalah atas alasan nyawa orang ketiga terancam dengan perlakuan tersebut.
“Jawatankuasa Kabinet mengenai keselamatan sebulat suara memberi kuasa kepada polis untuk menggunakan peluru hidup ke atas mana-mana individu Palestin yang membaling batu.
“Baling batu dan melempar bom tangan sebenarnya bukan sahaja membahayakan polis tetapi juga orang awam, kami terpaksa mengambil tindakan lebih tegas,” kata kenyataan tersebut.
Netanyahu secara terbuka telah mengisytiharkan ‘perang’ pada 16 September lalu, selepas seorang wanita warga Israel terbunuh akibat terkenan batu dan bom yang dilemparkan oleh sekumpulan penduduk Palestin dalam insiden, baru-baru ini.
Jawatankuasa tersebut yang bermesyuarat, baru-baru ini membuat keputusan drastik itu selepas penduduk Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan membaling batu dan bom tangan ke arah polis.
Dalam tunjuk perasaan itu, polis Israel menahan 13 penduduk Palestin termasuk sembilan kanak-kanak.
Kabinet Israel turut mengambil keputusan untuk mengenakan denda lebih tinggi ke atas remaja bawah umur dan hukuman penjara sehingga empat tahun bagi mereka yang didapati bersalah melempar batu ke arah pasukan keselamatan dan orang awam.
Sementara itu, seorang penduduk Palestin yang cedera parah akibat ditembak tentera Israel minggu lepas, meninggal dunia di hospital Tebing Barat, semalam. – AFP
No comments:
Post a Comment