MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
Bersatu hentikan pencerobohan Israel Wan Sharafi ketika mengetuai misi ke Gaza pada 2012. |
KOTA BHARU - Semua pihak khususnya negara-negara Arab digesa untuk bersatu dan mencari kaedah untuk menghentikan pencerobohan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa dengan menindas penduduk Palestin.
Presiden Cakna Palestin, Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa berkata, pencerobohan tentera Isreal terhadap Masjidil Aqsa sejak kebelakangan ini sepatutnya membuka mata umat Islam seluruh dunia.
“Adalah jelas Zionis itu menghadkan sempadan masa dan zon Masjidi Al-Aqsa konon untuk kegunaan bersama antara umat Islam dan Yahudi adalah alasan yang tidak munasabah bagi membenarkan kekejaman yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai usaha dan langkah yang diambil oleh pelbagai Badan Bukan Kerajaan ( NGO) seluruh negara untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan Zionis yang menzalimi jemaah dalam Masjidil Al-Aqsa semenjak 13 September yang lalu.
Rentetan serangan itu juga katanya, satu mesyuarat tergempar antara NGO yang ada atas slogan “Kempen Global Selamatkan Al-Quds” yang diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi membela Masjidil Al-Aqsa yang sedang terancam.
“Lebih 40 delegasi dari pelbagai NGO dalam dan luar negara hadir untuk berkongsi idea dalam pertemuan ini. Antara yang dipersetujui dalam mesyuarat itu ialah untuk menganjurkan demonstrasi besar-besaran pada 2 Oktober ini selepas solat Jumaat di hadapan kedutaan Amerika Syarikat bagi menyatakan bantahan terhadap perbuatan biadap Israel, sekutu kuat Amerika.
“Masjid-masjid utama di seluruh negara juga akan diseru untuk mengadakan perhimpunan serentak sebagai tanda solidariti terhadap kempen ini.
"Selain itu, mesyuarat bersetuju untuk menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah lebih proaktif dan berani dalam menyatakan pendirian Malaysia dalam hal ini sama ada di peringkat serantau mahu pun antarabangsa dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi Asean, ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan anggota OIC,” katanya.
Wan Sharafi berkata, pada tahun ini, pihaknya menyalurkan RM40,000 dengan agihan 20 biri-biri dan seekor lembu serta sumbangan kepada anak anak yatim melalui badan-badan bukan kerajaan di Gaza.
No comments:
Post a Comment