Datuk kepada bayi yang terkorban dalam serangan pelampau Yahudi bulan lalu, Mohammed Dawabshe membacakan doa di kediaman keluarga berkenaan di Nablus. - Foto: AFP
TEL AVIV - Israel membebaskan semua suspek yang dikaitkan dengan serangan ke atas kediaman keluarga Palestin di Nablus, hujung bulan lalu.
Seorang pegawai Israel berkata, semua suspek yang ditahan pada Ahad dibebaskan semalam tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Dalam kejadian 31 Julai lalu, seorang bayi Palestin berusia 18 bulan rentung manakala ibu bapa serta abangnya cedera setelah kediaman mereka dilontar bom molotov koktail oleh sekumpulan peneroka haram Yahudi.
Bapa bayi berkenaan, Saad Dawabsheh meninggal dunia di Soroka Sabtu lalu, akibat luka terbakar yang teruk.
Ibu dan abangnya berusia 4 tahun dilaporkan kritikal.
Susulan serangan ganas itu, gerakan Hamas berikrar untuk membalas dendam bagi jenayah yang dilakukan peneroka haram Yahudi terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemuda Palestin mati ditembak tentera Israel setelah didakwa menyebabkan kecederaan ke atas anggota tentera rejim di Bet Horon.
Menurut tentera Israel, anggotanya diserang sekumpulan lelaki Palestin di sebuah stesen minyak.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut didedahkan berhubung nasib beberapa lagi individu yang terlibat dalam kejadian itu. - Press TV
No comments:
Post a Comment