Perjanjian itu merupakan pengiktirafan rasmi Vatican terhadap Negara Palestin, selepas mengiktiraf Palestin pada 2012 yang menimbulkan kemarahan Israel.
Menteri Luar Vatican, Ketua Biskop Paul Richard Gallagher berharap perjanjian itu akan menjadi pencetus dalam membuat keputusan yang berani bagi menamatkan konflik Palestin-Israel yang telah berlarutan sejak sekian lama dan menyebabkan penderitaan kepada kedua-dua pihak yang bertelagah.
“Rundingan damai secara langsung antara pihak Palestin dan Israel perlu disambung semula dan membawa kepada penyelesaian penubuhan dua buah negara.
“Keadaan ini memerlukan satu keputusan berani tetapi akan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan,’’ katanya pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan.
Beliau berkata, perjanjian berkenaan juga boleh menjadi model berhubung kebebasan beragama dan nilai moral untuk negara Arab dan negara Islam lain.
Menteri Luar Palestin, Riad al-Malki berkata, perjanjian itu diharap dapat membantu membawa kepada pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara sendiri yang bebas dan bermaruah serta bebas daripada penjajahan.
Vatican telah mengiktiraf Palestin sejak 2012 yang menimbulkan kemarahan Israel.
Perjanjian itu yang melibatkan aktiviti Gereja Katholik di kawasan yang dikawal Pihak Berkuasa Palestin, merupakan antara polisi luar Vatican di bawah pimpinan Pope Francis.
Vatican mahu memainkan lebih banyak peranan diplomatik di Asia Barat yang menyaksikan penduduk Kristian terpaksa melarikan diri dari kediaman masing-masing ekoran konflik di Syria, Iraq dan beberapa negara Islam lain. – REUTERS