Langkah Palestin itu boleh membuatkan Israel kebingungan kerana rejim tersebut perlu memutuskan sama ada untuk bekerjasama dengan siasatan ICC atau menjadikan mereka terasing sebagai satu daripada beberapa buah negara yang enggan bekerjasama dengan pendakwa raya mahkamah berkenaan.
Israel menafikan jenayah perang dilakukan oleh tenteranya dalam serangan tahun lalu dan menuduh pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza bertindak kejam dengan melancarkan ribuan roket ke arah kediaman Israel.
Turut hadir di ICC selepas pertemuan dengan Ketua Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda adalah Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki.
Riyad berkata, beliau telah mengemukakan dokumen mengenai konflik Gaza, penempatan Yahudi di tanah yang dirampas Israel yang dicadangkan PA sebagai negara Palestin dan layanan tahanan Palestin di penjara Israel.
“Palestin merupakan satu ujian untuk kredibiliti mekanisme antarabangsa itu, satu ujian yang tidak mahu dilihat oleh negara-negara dunia untuk gagal. Palestin telah memutuskan untuk mencari keadilan dan bukannya mahu membalas dendam,’’ kata Riyad.
Sementara itu, jurucakap menteri luar Israel dalam satu ken­yataan berkata, tindakan Palestin itu tidak lebih daripada satu percubaan untuk memanipulasi ICC dan pihaknya berharap bahawa pendakwa raya tidak akan jatuh ke dalam perangkap. – REUTERS