Liga Arab desak Israel
Kumpulan penunjuk perasaan berhimpun di Haram al-Sharif di Baitulmaqdis sebagai tanda sokongan terhadap Khader.
KAHERAH - MESIR . Liga Arab mengutuk sekeras-kerasnya layanan buruk dan sebarang bentuk penderaan fizikal yang dilakukan ke atas tahanan Palestin.
Kelmarin, pertubuhan yang dianggotai 22 negara Arab itu turut mendesak pembebasan tahanan yang telah meringkuk di dalam penjara untuk tempoh terlalu lama tanpa diberi peluang untuk membela diri mereka.
Jurucakapnya memaklumkan, Liga Arab turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil langkah efektif untuk membantu membebaskan anggota kanan gerakan Jihad Islam, Khader Adnan, 36, yang nekad mogok lapar lebih 50 hari.
Sementara itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memberi amaran terhadap tahap kesihatan Adnan yang didakwa semakin merosot selepas beliau terus mogok lapar sejak lebih sebulan lalu.
Dalam perkembangan lain, usaha pembinaan semula Genting Gaza yang musnah teruk akibat serangan rejim Zionis pada Julai lalu dijangka bermula dalam tempoh beberapa hari lagi.
Jurucakap kerajaan memaklumkan kira-kira 90,000 rumah separa rosak telah dibaiki dengan kerjasama PBB.
Sejak Oktober lalu, lebih 1.1 juta tan bahan binaan dihantar ke wilayah Gaza melalui lintasan Kerem Shalom yang berada di bawah kawalan Israel.  - Press TV