STOCKHOLM - SWEDEN . Sebuah daripada kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk warga Gaza di Palestin telah disabotaj, kelmarin.
 
Kapal Marianne of Gothenburg yang membawa aktivis pro-Palestin termasuk Ahli Parlimen Israel, Basel Ghattas itu didakwa telah disabotaj ketika berlabuh di perairan Mediterranean.
 
"Seseorang telah menyelam ke bawah kapal pada waktu malam dan sengaja merosakkan kipas. Ia perbuatan khianat sama yang pernah berlaku pada 2011," kata aktivis Sweden, Dror Feiler.
 
Menurut Feiler lagi, kerosakan itu boleh membahayakan keadaan kapal sekiranya meneruskan pelayaran.
 
Namun katanya, insiden itu tidak melemahkan semangat aktivis untuk cuba memecah sekatan Israel.
 
Difahamkan, kapal tersebut tutut membawa bantuan perubatan dan peralatan lain seperti panel solar untuk penduduk Palestin.
 
Kapal terbabit telah berlepas dari Sweden pada akhir Mei lalu dan dijangka tiba di Gaza pada akhir bulan ini.
 
Sementara itu, jurucakap tentera rejim Zionis dengan angkuh memberitahu mereka tidak akan membenarkan mana-mana kapal menyeberangi sempadan perairan untuk memasuki ke wilayah Gaza. - Press TV