Menurut laman web middleeastmonitor.com, Kementerian Wakaf Palestin mendirikan khemah-khemah bagi menggantikan masjid, yang sebahagiannya musnah dan tidak dibaik pulih kerana Gaza kini masih menerima sekatan berterusan daripada Israel.
Kira-kira 67 buah masjid mengalami kerosakan dan lebih 150 buah masjid lagi musnah sepenuhnya dalam serangan Israel selama 51 hari pada tahun lalu.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Palestin yang juga pemimpin pergerakan Hamas, Ismail Haniyeh mengetuai solat sunat tarawih di kem pelarian Al-Shati, barat Gaza City, semalam.
Beliau memberitahu jemaah: ‘‘Gaza diserang Israel pada Ramadan tahun lalu, dan inilah kesan serangan Israel pada Ramadan tahun ini.’’
Ismail turut menyampaikan pesanan kepada pelarian Palestin di Yarmouk, dengan berkata: “Kamu pelarian Palestin sentiasa dekat di hati kami, tindakan kami sentiasa bersama kamu dan doa kami sentiasa bersama kamu sehingga kamu pulang ke Palestin, tanah air kamu,” ujarnya.
Beliau juga menyeru negara-negara Arab dan negara Islam supaya bersatu bagi membebaskan Palestin dan negara-negara lain yang tertindas supaya mereka dapat menikmati kebebasan.