Flotila baharu ke Gaza, Freedom Flotilla Coalition yang akan ke Gaza pada akhir bulan ini, diharap tidak menerima nasib serupa seperti kapal Mavi Marmara. AGENSI
PALERMO 19 Jun - Sekurang-kurangnya tiga buah bot membawa aktivis pro-Palestin bersiap sedia belayar ke Gaza dalam usaha terbaharu menyertai pelayaran Flotila Kebebasan untuk memecah sekatan Israel ke atas Gaza.
Anggota Freedom Flotilla Coalition di Palermo, Sicily, memberitahu portal Al Jazeera, pihaknya sedang membuat persiapan akhir untuk belayar ke Gaza dan tiba di wilayah Palestin itu sebelum akhir bulan ini.
Aktivis, Kalle Ohlsson berkata, matlamat utama flotila itu bukan untuk membawa bantuan, sebaliknya untuk membuka Pelabuhan Gaza, membawa kebebasan pergerakan, dan perdagangan.
“Matlamat kami adalah menamatkan kepungan terhadap Gaza. Kami mahu penduduk Palestin tahu yang kami tidak akan melupakan mereka. Terdapat banyak krisis di dunia, tetapi situasi di Gaza terlalu teruk,” ujarnya.
Kapal Marianne dari Sweden itu yang kini berada di Sicily mempunyai ruang terhad untuk kargo, tetapi boleh membawa bantuan kecil termasuk peralatan perubatan dan panel solar.
Ohlsson juga melahirkan kebimbangan terhadap reaksi tentera Israel apabila bot itu tiba di perairan antarabangsa.
“Kami amat mengambil berat tentang keselamatan. Kami mempunyai polisi tegas bukan keganasan. Kami berharap Israel tidak akan menggunakan kekerasan,” ujarnya.
Pada Mei 2010, seramai 10 orang terkorban apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kapal Mavi Marmara yang menyertai flotila ke Gaza.
Kapal tersebut yang merupakan sebuah daripada kapal yang menyertai Flotila Kebebasan pertama ke Gaza diserbu tentera Israel di perairan antarabangsa selepas kapal didakwa enggan menukar destinasi.
Menurut Israel, sekatan maritim adalah perlu bagi mengelakkan senjata tiba di Gaza.
No comments:
Post a Comment