Beliau berkata, jika pemben­tukan negara Palestin diterima, keselamatan Israel akan tergugat dan ia akan menyebabkan Israel terpaksa menyerahkan penguasaannya ke atas Baitulmaqdis.
“Kami akan terus membina dan mengukuhkan Baitulmaqdis, jadi pembahagian bandar itu tidak akan dibenarkan berlaku dan ia akan te­rus kekal menjadi satu bandar yang tidak terpisah selama-lamanya,” ujarnya semasa melawat Har Homa, sebuah kawasan penempatan ha­ram Yahudi yang bercantum de­ngan timur Baitulmaqdis.
Netanyahu yang berhasrat untuk memerintah bagi penggal ketiga berturut-turut juga berikrar tidak akan membenarkan rakyat Palestin menjadikan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan berjanji akan membina ‘beribu-ribu’ lagi pe­nempatan haram Yahudi.
Penduduk Palestin mahu menjadikan timur Bailtulmaqdis sebagai ibu negara bagi negara Pa­lestin yang bakal ditubuhkan, dan tindakan Israel terus membina penempatan haram Yahudi di kawasan itu menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa, yang melihat pembinaan penempatan haram Yahudi tersebut menjadi penghalang kepada perdamaian.
Sepanjang kempen, Netanyahu berulang kali menuduh pemimpin Kesatuan Zionis, Isaac Herzog dan bekas anggota perunding damai Israel, Tzipi Livni bersedia melepaskan rancangan Israel untuk menjadikan Bailtulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Tetapi kenyataan Netanyahu paling lantang ialah apabila beliau ditanya oleh pemberita laman web NRG, portal berita sayap kanan tentang apakah benar negara Palestin tidak akan ditubuhkan jika beliau dipilih semula.
“Sama sekali tidak,” jawab Netanyahu, walaupun beliau pada 2009 telah meluluskan rancangan menubuhkan dua buah negara yang terletak sebelah-menyebelah.
Beliau kemudian memberitahu radio awam bahawa penyelesaikan me­lalui pembentukan dua buah negara kini tidak lagi relevan, dan menambah kata, ‘realiti (keadaan) telah ber­ubah’ dan ‘mana-mana wilayah yang diserahkan (kepada Palestin) akan diambil alih oleh kumpulan militan’.
Netanyahu mendakwa jika pesaingnya dipilih, mereka akan memperjudikan keselamatan Israel dan mereka juga akan melepaskan pe­nguasaan Israel ke atas Baitulmaqdis.
Keputusan awal pengundian dijangka diumumkan esok dan keputusan akhir akan diumumkan pada 25 Mac ini. - AFP/dpa