NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyuarakan kebimbangannya selepas Palestin mengambil keputusan untuk menghentikan semua kerjasama keselamatan dengan Israel.

Palestin mengambil langkah itu kerana mendakwa Israel melanggar perjanjian dua hala selain enggan menyerahkan hasil kutipan cukai.
Ban Ki-moon
Ban Ki-moon
Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, Ki-moon menggesa pihak berkuasa Israel dan Palestin menilai semula tindak-tanduk mereka dan kembali ke meja rundingan.

Katanya, Ki-moon turut menyeru agar Israel menyalurkan kembali hasil kutipan cukai kepada pihak berkuasa Palestin.

Israel membekukan pemindahan pendapatan cukai kepada Palestin, selepas ia mengemukakan permohonan untuk menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pegawai Israel memaklumkan, kira-kira ASD$127 juta (RM449 juta) yang dikutip bagi pihak Palestin sepanjang Disembar lalu, tidak akan disalurkan  buat sementara.

Akibat tindakan Israel itu, pihak berkuasa Palestin berhadapan masalah untuk membayar gaji pekerja yang berkhidmat di sektor awam. - Reuters